Gambar Hiasan |
Keris Taming Sari pada asalnya adalah kepunyaan Taming Sari, seorang pahlawan Jawa. Beliau telah diarahkan oleh Patih Gajah Mada, Bentara Majapahit untuk membunuh Hang Tuah. Taming Seri telah memasuki istana Seri Betara Majapahit dan telah mengamuk dan membunuh ramai orang. Hang Tuah yang berada di situ telah bertarung dengan Taming Sari dan telah membunuh beliau. Keris Taming Sari telah jatuh ke tangan Hang Tuah dan beliau telah mempersembahkan keris itu kehadapan Seri Betara Majapahit. Baginda telah menganugerahkan Keris Taming Sari kepada Laksamana Hang Tuah diatas jasanya mengalahkan Taming Sari.
Keris Taming Sari pernah dicuri oleh Sang Kertaksa, atas arahan Patih Gajah Mada dan Seri Betara Majapahit yang ingin membunuh Laksamana Hang Tuah. Laksamana Hang Tuah bagaimanapun berjaya mendapatkan semula Keris Taming Sari dengan menggunakan ilmu sakti beliau.
Setelah difitnah oleh Patih Kerma Wijaya, Laksamana Hang Tuah telah dibuang negeri oleh Paduka Sultan Melaka. Keris Taming Sari telah baginda berikan kepada Hang Jebat yang telah dilantik menjadi Laksamana menggantikan Hang Tuah. Hang Jebat kemudiannya telah memasuki istana Sultan Melaka dan mengamuk membunuh ramai rakyat jelata. Hang Tuah yang disembunyikan oleh Paduka Bendahara telah dipanggil oleh Sultan Melaka untuk bersemuka dengan Hang Jebat. Semasa bertarung Hang Tuah telah merampas Keris Taming Sari dari Hang Jebat dan telah menikam dan membunuh beliau.
Selepas itu, Hang Tuah yang terlalu malu untuk menghadap Sultan Melaka kerana gagal mendapatkan Puteri Gunung Ledang untuk baginda telah mengirim dan mempersembahkan Keris Taming Sari kepada baginda. Ketika Sultan Mahmud meninggalkan Melaka, baginda membawa keris ini bersama ke Kampar, Sumatera. Baginda kemudiannya telah mengurniakan Keris Taming Sari ini kepada anakanda baginda, Raja Mudzaffar, yang kemudiannya berangkat ke Perak. Keris Taming Sari inilah yang telah digunakan pada adat kebesaran diraja Perak. Keseluruhan sarung keris ini diselaputi oleh dedaun emas.
RUJUKAN
- Hikayat Hang Tuah- dikaji dan diselenggarakan oleh Kassim Ahmad.
- Peristiwa-peristiwa dari Hikayat Hang Tuah- A. Bakar Hamid.
- Ensiklopedia Global Edisi Milenium 2001 terbitan Smartgenie Corp. Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment